Bismillahir Rahmannir Rahim
Alhamdulillah segala puji dan syukur dipanjatkan kepada Allah SWT, dengan taufiq dan ‘inayah-Allah kita dapat meneruskan usaha mendidik dan mengasuh generasi muda muslim ke arah meninggikan martabat insan sebagai makhluk Allah yang bersyukur. Ucapan selawat dan salam ditujukan kepada Baginda Nabi Muhammad SAW, dan ahli keluarga baginda, serta sahabat-sahabat baginda. Semoga mereka semua sentiasa dalam limpahan rahmat Allah SWT.
Setiap menjelang 16 Mei kita menyambut dan merayakan Hari Guru. Hari ini guru-guru disambut dan dirai’kan dengan pelbagai acara dan program yang bertujuan untuk menghargai khidmat dan jasa para guru-guru yang kita sayangi. Kerana mereka telah mencurahkan tenaga dan usaha yang mulia kepada murid dan anak didik mereka. Yayasan Takmir Pendidikan mengucapkan setinggi-tinggi penghargaan dan tahniah kepada guru-guru, para pendidik, kakitangan dan semua warga sekolah, yang telah dan sedang memberi khidmat kepada institusi pendidikan Jemaah; sama ada di sekolah-sekolah Rendah dan Menengah Islam ABIM, dan juga di Taman Asuhan Kanak-Kanak Islam (TASKI) serta kelas-kelas Tahfiz di seluruh negara.
Semua orang faham dan mengerti bahawa tanpa guru tiada sekolah, tiada pengajaran dan pembelajaran, tanpa guru ilmu tidak berkembang, tanpa guru yang mengajar dan mendidik manusia tidak terdidik dan mendapat ilmu. Sekiranya guru tidak menyebar dan menumpahkan ilmu, manusia tidak dapat mencipta budaya dan membina tamadun. Tugas dan tanggungjawab guru amat penting, kompleks dan mencabar. Justeru itu khidmat para guru hendaklah dihargai dan disanjungi.
Guru juga berperanan membina potensi manusia, Dr. Hassan Langgulung menegaskan, “Bahawa pendidikan sebagai pengembangan potensi, dapat diumpamakan seperti pertumbuhan dan perkembangan bunga-bunga, di mana potensi-potensi tersembunyi yang ada pada benih, berkembang menjadi bunga yang matang dan mekar. Sebagai bandingannya, kanak-kanak itu adalah benih di mana terdapat potensi-potensi yang masih tersembunyi dan tidak nampak. Guru adalah tukang kebun yang menerusi kemesraan dan pemeliharaannya yang cermat, dapat membuka rahsia potensi-potensi yang tersembunyi ini. Dan pendidikan adalah proses mengajar berkebun yang dengan itu kebolehan-kebolehan yang tidak nampak menjadi nampak, melalui pilihan dan penggunaan yang bijak terhadap baja yang sesuai.
Islam memberi kedudukan yang tinggi kepada orang yang berilmu dan beriman, di mana mereka menggunakan ilmu dan kemahiran yang ada pada diri mereka untuk mendidik dan mengajar orang lain.
Firman Allah:
"Nescaya Allah mengangkat (darjat) orang yang beriman di antara kamu dan orang yang diberi ilmu beberapa darajat, dan Allah mengetahui apa yang kamu kerjakan”. (al Mujadalah: 11)
Ayat ini menjelaskan bahawa Allah Swt. mengangkat kedudukan orang yang beriman dan yang diberi ilmu pengetahuan kepada kedudukan yang istimewa. Kerana mereka mengamal dan menggunakan ilmu yang mereka miliki untuk menyebarkannya kepada orang lain. Sebuah hadith Rasulullah Saw. menjelaskan bahawa “Sampaikanlah daripada aku walaupun satu ayat”.
Banyak pihak merasa bimbang, bahawa ramai anak muda lepasan sekolah tidak menyedari bahawa gurulah yang mengajar dan membebaskan mereka dari belenggu kejahilan dan kebodohan, guru menyampaikan kepada mereka ilmu dan kemahiran, guru yang memimpin dan mencetuskan minda mereka untuk berkarya dan berfikir, guru membina adab dan membentuk akhlak, guru menunjukkan jalan yang benar dan selamat. Tegasnya guru sangat berjasa kepada pelajar, masyarakat dan negara.
Sesungguhnya Hari Guru ini disambut dan dirayakan pada setiap tahun, adalah bertujuan untuk memperingati dan menghargai jasa guru-guru sebagai pendidik dan pengasuh anak bangsa. Sambutan ini diharapkan dapat memberi kesedaran serta meningkatkan keinsafan kepada anak didik, khususnya para pelajar-pelajar dan masyarakat seluruhnya. Dengan pengertian dan kefahaman bahawa guru adalah tunjang utama dalam membangun tamadun dan budaya ummat. Sejarah membuktikan bahawa kejayaan dan kebesaran umat Islam zaman dahulu, adalah disebabkan mereka mengambil berat terhadap perkembangan ilmu dan menghargai khidmat para guru; yang terdiri daripada para ‘alim ulamak, ahli fikir dan ilmuan dalam semua bidang ilmu pengetahuan.
Guru menekuni tugasnya dalam menyebarkan ilmu dan kefahaman, Guru menanam benih keimanan dan akhlak mulia, guru menerapkan nilai murni kepada murid-muridnya. Guru memindahkan budaya dan peradaban bangsa dari generasi ke generasi seterusnya. Sejarah telah menunjukkan bahawa sumbangan dan khidmat kaum guru dalam pendidikan, telah memberi impak yang sangat berharga dalam membina insan berilmu dan berpendidikan. Rasulullah Saw. ada bersabda: AL‘Ulama’ warasatul anbiya’ maksudnya ulama’ adalah waris para nabi-nabi r.a. Maksud dari hadith ini, ialah bahawa ulama berperanan menyebarkan ilmu untuk menyelamatkan umat dari segala kesesatan dan kemungkaran. Para ulama’ telah melaksanakan amanah ini dengan penuh tanggungjawab, dimana risalah para anbiya’ dapat disampaikan kepada umat dengan berkesan. Peranan menyebarkan ilmu ini juga dipikulkan kepada guru-guru, yang merupakan sebahagian daripada tugas ulama. Justeru, guru juga adalah seorang murabbi dan muaddib, kerana mereka telah melaksanakan tugas dakwah dan tarbiyah demi untuk kebaikan dan kebahagiaan generasi pelajar di sekolah pada hari ini.
Semua Institusi Pendidikan ABIM memikul amanah melaksanakan Pendidikan Islam. Iaitu pendidikan yang berhasrat melahirkan insan soleh dan umat terpilih, yang disebut dalam al Quran sebagai khaira ummah, iaitu umat yang mengabadikan diri kepada Allah S.W.T. Matlamat pendidikan kita berbeda dari sistem pendidikan sekular. Justeru itu para guru Institusi Pendidikan ABIM diharapkan dapat menterjemah dan menerapkan makna dan hasrat Falsafah Pendidikan Al-Hikmah, bagi merealisasikan lahirnya generasi Ulul Al-Bab.
Dalam usaha menyebarkan ilmu, menanam nilai dan membentuk akhlak murid, terlalu banyak elemen yang boleh mengelirukan dan menyesatkan pelajar dan angkatan muda. Pengaruh negatif yang datang dalam pelbagai bentuk ini, telah mengganggu minda dan emosi pelajar dalam menekuni pengajian mereka di sekolah. Pelajar-pelajar sentiasa terdedah dengan hiburan melampau, muzik dan nyanyian yang mengkhayalkan, filem-filem yang mempamerkan kisah-kisah ganas, lucah, bebas nilai, hidup tanpa agama, pergaulan tanpa batas, arak, dadah dan sebagainya. Apa pun yang terjadi, tugas dan peranan guru tetap sama, iaitu mendidik, memimpin, melatih, memberi dorongan, menunjuk contoh kepada pelajar, agar hasrat murni dari proses pendidikan ini dapat dicapai dengan jayanya. Guru harus mampu menghadapi segala macam karenah pelajar yang hidup di zaman yang sentiasa berubah. Guru yang berilmu, berkemahiran dan beriltizam dengan kerjayanya, tentunya guru yang berkualiti tinggi, yang sentiasa prihatin dengan setiap perubahan dan perkembangan yang berlaku.
Semua kaum guru menyedari bahawa tanggung jawab mendidik dan membina pelajar, adalah merupakan amanah yang berat dan sukar. Semoga dengan semangat jihad dan pengorbanan yang ditunjukkan oleh para ulama’ dan pendidik ummah pada masa lalu, dapat mendorong kita untuk meneruskan usaha yang mulia ini, demi menyelamatkan umat dari kemusnahan dan kehancuran. Pada masa yang sama usaha membina dan membangun generasi pelajar dengan roh keimanan dan ketaqwaan, Insya-Allah anda dan kita semua akan tersenarai sebagai generasi khaira ummah yang berperanan menegakkan amar maaruf dan nahi mungkar.
Sesungguhnya Yayasan Takmir Pendidikan sangat berbangga dan amat berbesar hati, atas kesungguhan saudara dan saudari, yang berkhidmat sebagai guru di semua Institusi Pendidikan ABIM dalam tempoh sekian lama, sebenarnya guru-guru telah menunjukkan hasil yang membanggakan. Ibubapa pelajar telah menyatakan penghargaan mereka kapada sekolah dan guru-guru, bahawa SERI dan SEMI ABIM berjaya melahirkan pelajar yang berakhlak mulia, taat mengerjakan solat, mampu dalam berkomunikasi, mempunyai daya memimpin yang baik, serta berdaya kreatif dan seterusnya mempunyai daya tahan dalam menempuh cabaran zaman ini. Semoga Allah SWT., merestui dan meredhai perjuangan ini sebagai amal soleh, yang menjadi rebutan dan pilihan para syuhada’ dan mutaqin. Selamat hari guru. Wabillahitaufiq
Walhidayah.Wasssalamualaikum wbt.
Salam hormat daripada,
Mahyuddin Haji Shaari
KPP Yayasan Takmir Pendidikan
Kajang 14 Mei 2013
KPP Yayasan Takmir Pendidikan
Kajang 14 Mei 2013
0 comments:
Catat Ulasan