Bismillahir Rahmannir Rahim
Alhamdulillah
segala puji dan syukur dipanjatkan kepada Allah SWT, dengan taufiq dan
‘inayah-Allah kita dapat meneruskan usaha mendidik dan mengasuh
generasi muda muslim ke arah meninggikan martabat insan sebagai makhluk
Allah yang bersyukur. Ucapan selawat dan salam ditujukan kepada Baginda
Nabi Muhammad SAW, dan ahli keluarga baginda, serta sahabat-sahabat
baginda. Semoga mereka semua sentiasa dalam limpahan rahmat Allah SWT.
Setiap menjelang 16 Mei kita menyambut
dan merayakan Hari Guru. Hari ini guru-guru disambut dan dirai’kan
dengan pelbagai acara dan program yang bertujuan untuk menghargai
khidmat dan jasa para guru-guru yang kita sayangi. Kerana mereka telah
mencurahkan tenaga dan usaha yang mulia kepada murid dan anak didik
mereka. Yayasan Takmir Pendidikan mengucapkan setinggi-tinggi
penghargaan dan tahniah kepada guru-guru, para pendidik, kakitangan dan
semua warga sekolah, yang telah dan sedang memberi khidmat kepada
institusi pendidikan Jemaah; sama ada di sekolah-sekolah Rendah dan
Menengah Islam ABIM, dan juga di Taman Asuhan Kanak-Kanak Islam (TASKI)
serta kelas-kelas Tahfiz di seluruh negara.
Semua orang faham dan mengerti bahawa
tanpa guru tiada sekolah, tiada pengajaran dan pembelajaran, tanpa guru
ilmu tidak berkembang, tanpa guru yang mengajar dan mendidik manusia
tidak terdidik dan mendapat ilmu. Sekiranya guru tidak menyebar dan
menumpahkan ilmu, manusia tidak dapat mencipta budaya dan membina
tamadun. Tugas dan tanggungjawab guru amat penting, kompleks dan
mencabar. Justeru itu khidmat para guru hendaklah dihargai dan
disanjungi.
Guru juga berperanan membina potensi
manusia, Dr. Hassan Langgulung menegaskan, “Bahawa pendidikan sebagai
pengembangan potensi, dapat diumpamakan seperti pertumbuhan dan
perkembangan bunga-bunga, di mana potensi-potensi tersembunyi yang ada
pada benih, berkembang menjadi bunga yang matang dan mekar. Sebagai
bandingannya, kanak-kanak itu adalah benih di mana terdapat
potensi-potensi yang masih tersembunyi dan tidak nampak. Guru adalah
tukang kebun yang menerusi kemesraan dan pemeliharaannya yang cermat,
dapat membuka rahsia potensi-potensi yang tersembunyi ini. Dan
pendidikan adalah proses mengajar berkebun yang dengan itu
kebolehan-kebolehan yang tidak nampak menjadi nampak, melalui pilihan
dan penggunaan yang bijak terhadap baja yang sesuai.
Islam memberi kedudukan yang tinggi
kepada orang yang berilmu dan beriman, di mana mereka menggunakan ilmu
dan kemahiran yang ada pada diri mereka untuk mendidik dan mengajar
orang lain.
Firman Allah:
"Nescaya Allah mengangkat (darjat)
orang yang beriman di antara kamu dan orang yang diberi ilmu beberapa
darajat, dan Allah mengetahui apa yang kamu kerjakan”. (al Mujadalah: 11)
Ayat ini menjelaskan bahawa Allah Swt.
mengangkat kedudukan orang yang beriman dan yang diberi ilmu pengetahuan
kepada kedudukan yang istimewa. Kerana mereka mengamal dan menggunakan
ilmu yang mereka miliki untuk menyebarkannya kepada orang lain. Sebuah
hadith Rasulullah Saw. menjelaskan bahawa “Sampaikanlah daripada aku
walaupun satu ayat”.
Banyak pihak merasa bimbang, bahawa
ramai anak muda lepasan sekolah tidak menyedari bahawa gurulah yang
mengajar dan membebaskan mereka dari belenggu kejahilan dan kebodohan,
guru menyampaikan kepada mereka ilmu dan kemahiran, guru yang memimpin
dan mencetuskan minda mereka untuk berkarya dan berfikir, guru membina
adab dan membentuk akhlak, guru menunjukkan jalan yang benar dan
selamat. Tegasnya guru sangat berjasa kepada pelajar, masyarakat dan
negara.
Sesungguhnya Hari Guru ini disambut dan
dirayakan pada setiap tahun, adalah bertujuan untuk memperingati dan
menghargai jasa guru-guru sebagai pendidik dan pengasuh anak bangsa.
Sambutan ini diharapkan dapat memberi kesedaran serta meningkatkan
keinsafan kepada anak didik, khususnya para pelajar-pelajar dan
masyarakat seluruhnya. Dengan pengertian dan kefahaman bahawa guru
adalah tunjang utama dalam membangun tamadun dan budaya ummat. Sejarah
membuktikan bahawa kejayaan dan kebesaran umat Islam zaman dahulu,
adalah disebabkan mereka mengambil berat terhadap perkembangan ilmu dan
menghargai khidmat para guru; yang terdiri daripada para ‘alim ulamak,
ahli fikir dan ilmuan dalam semua bidang ilmu pengetahuan.
Guru menekuni tugasnya dalam menyebarkan
ilmu dan kefahaman, Guru menanam benih keimanan dan akhlak mulia, guru
menerapkan nilai murni kepada murid-muridnya. Guru memindahkan budaya
dan peradaban bangsa dari generasi ke generasi seterusnya. Sejarah telah
menunjukkan bahawa sumbangan dan khidmat kaum guru dalam pendidikan,
telah memberi impak yang sangat berharga dalam membina insan berilmu dan
berpendidikan. Rasulullah Saw. ada bersabda: AL‘Ulama’ warasatul
anbiya’ maksudnya ulama’ adalah waris para nabi-nabi r.a. Maksud dari
hadith ini, ialah bahawa ulama berperanan menyebarkan ilmu untuk
menyelamatkan umat dari segala kesesatan dan kemungkaran. Para ulama’
telah melaksanakan amanah ini dengan penuh tanggungjawab, dimana
risalah para anbiya’ dapat disampaikan kepada umat dengan berkesan.
Peranan menyebarkan ilmu ini juga dipikulkan kepada guru-guru, yang
merupakan sebahagian daripada tugas ulama. Justeru, guru juga adalah
seorang murabbi dan muaddib, kerana mereka telah melaksanakan tugas
dakwah dan tarbiyah demi untuk kebaikan dan kebahagiaan generasi pelajar
di sekolah pada hari ini.
Semua Institusi Pendidikan ABIM memikul
amanah melaksanakan Pendidikan Islam. Iaitu pendidikan yang berhasrat
melahirkan insan soleh dan umat terpilih, yang disebut dalam al Quran
sebagai khaira ummah, iaitu umat yang mengabadikan diri kepada Allah
S.W.T. Matlamat pendidikan kita berbeda dari sistem pendidikan sekular.
Justeru itu para guru Institusi Pendidikan ABIM diharapkan dapat
menterjemah dan menerapkan makna dan hasrat Falsafah Pendidikan
Al-Hikmah, bagi merealisasikan lahirnya generasi Ulul Al-Bab.
Dalam usaha menyebarkan ilmu, menanam
nilai dan membentuk akhlak murid, terlalu banyak elemen yang boleh
mengelirukan dan menyesatkan pelajar dan angkatan muda. Pengaruh negatif
yang datang dalam pelbagai bentuk ini, telah mengganggu minda dan emosi
pelajar dalam menekuni pengajian mereka di sekolah. Pelajar-pelajar
sentiasa terdedah dengan hiburan melampau, muzik dan nyanyian yang
mengkhayalkan, filem-filem yang mempamerkan kisah-kisah ganas, lucah,
bebas nilai, hidup tanpa agama, pergaulan tanpa batas, arak, dadah dan
sebagainya. Apa pun yang terjadi, tugas dan peranan guru tetap sama,
iaitu mendidik, memimpin, melatih, memberi dorongan, menunjuk contoh
kepada pelajar, agar hasrat murni dari proses pendidikan ini dapat
dicapai dengan jayanya. Guru harus mampu menghadapi segala macam karenah
pelajar yang hidup di zaman yang sentiasa berubah. Guru yang berilmu,
berkemahiran dan beriltizam dengan kerjayanya, tentunya guru yang
berkualiti tinggi, yang sentiasa prihatin dengan setiap perubahan dan
perkembangan yang berlaku.
Semua kaum guru menyedari bahawa
tanggung jawab mendidik dan membina pelajar, adalah merupakan amanah
yang berat dan sukar. Semoga dengan semangat jihad dan pengorbanan yang
ditunjukkan oleh para ulama’ dan pendidik ummah pada masa lalu, dapat
mendorong kita untuk meneruskan usaha yang mulia ini, demi
menyelamatkan umat dari kemusnahan dan kehancuran. Pada masa yang sama
usaha membina dan membangun generasi pelajar dengan roh keimanan dan
ketaqwaan, Insya-Allah anda dan kita semua akan tersenarai sebagai
generasi khaira ummah yang berperanan menegakkan amar maaruf dan nahi
mungkar.
Sesungguhnya Yayasan Takmir Pendidikan
sangat berbangga dan amat berbesar hati, atas kesungguhan saudara dan
saudari, yang berkhidmat sebagai guru di semua Institusi Pendidikan ABIM
dalam tempoh sekian lama, sebenarnya guru-guru telah menunjukkan hasil
yang membanggakan. Ibubapa pelajar telah menyatakan penghargaan mereka
kapada sekolah dan guru-guru, bahawa SERI dan SEMI ABIM berjaya
melahirkan pelajar yang berakhlak mulia, taat mengerjakan solat, mampu
dalam berkomunikasi, mempunyai daya memimpin yang baik, serta berdaya
kreatif dan seterusnya mempunyai daya tahan dalam menempuh cabaran
zaman ini. Semoga Allah SWT., merestui dan meredhai perjuangan ini
sebagai amal soleh, yang menjadi rebutan dan pilihan para syuhada’ dan
mutaqin. Selamat hari guru. Wabillahitaufiq
Walhidayah.Wasssalamualaikum
wbt.
Salam hormat daripada,
Mahyuddin Haji Shaari
KPP Yayasan Takmir Pendidikan
Kajang 14 Mei 2013
KPP Yayasan Takmir Pendidikan
Kajang 14 Mei 2013
0 comments:
Catat Ulasan