Yayasan Takmir telah menganjurkan Ihtifal Kebangsaan (Sukan) SERI/SEMI ABIM Kali ke-11 dengan jayanya pada 13 hingga 15 Mac 2011. SERI/SEMI ABIM Sg. Ramal, Kajang telah dilantik sebagai tuan rumah. Ihtifal Sukan telah diadakan di Universiti Kebangsaan Malaysia, Bangi, Kompleks Sukan Bandar Baru Bangi dan Kompleks Dar Al-Hikmah. Penginapan untuk kontigen di SERI/SEMI Sg. Ramal dan Kolej Dar Al-Hikmah.
Ihtifal dimulakan dengan acara balapan, bola sepak dan bola jaring dan majlis perasmian telah disempurnakan pada 15 Mac jam 9.00 malam oleh YBhg. Prof. Dato’ Ir. Dr. Hassan b. Basri, Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Akademik dan Antarabangsa, UKM, Bangi. Majlis perasmian pada malam itu agak meriah dan ceria dengan persembahan-persembahan oleh pelajar SERI/SEMI Sg. Ramal seperti pakaian beruniform oleh Briged Bakti, Bulan Sabit Merah, Pengakap, Tae Kwando, senamrobik berirama, perbarisan dari kontigen-kontigen seluruh SERI/SEMI seluruh negara. Suasana gemerlapan di Stadium oleh pancaran bunga api yang berwarna warni serta paluan gendang oleh Kumpulan Nasyid Al-Fitrah telah memeriahkan lagi suasana pada malam itu. Lebih dari 1000 orang memenuhi stadium pada malam itu yang terdiri daripada kalangan pelajar, guru, ibu bapa dan para jemputan. Majlis peramian ini turut diserikan dengan kehadiran para pentadbir Yayasan Takmir Pendidikan, Ketua Pegawai Eksekutif, Pendaftar, Pengetua dan Guru Besar SERI/SEMI selaku ahli jawatankuasa Induk dan wakil pimpinan ABIM, WADAH Pusat, negeri dan daerah di sekitar Lembah Klang.
Sebanyak 48 acara pertandingan lelaki dan perempuan SERI dan SEMI iaitu acara 100m, 200m, 4x100m, lompat jauh, lontar peluru, badminton, ping-pong, bola sepak, futsal, sepak-takraw, bola tampar, renang, catur dan bola jaring, Sebahagian besar acara dilaksanakan di Stadium UKM kecuali futsal di Kompleks Sukan Bandar Baru Bangi dan catur di Kolej Dar Al-Hikmah. Lebih dari 600 orang peserta telah mengambil bahagian. Majlis penyampaian hadiah dilaksanakan sebaik sahaja selesai permainan yang disampaikan oleh Ketua Pegawai Eksekutif, Pengetua atau Guru Besar SERI/SEMI dari seluruh negara.
Majlis perasmian penutup telah disempurnakan oleh YBhg. Dr. Muhammad Razak b. Idris, Presiden ABIM pada 15 Mac 2011 jam 11.00 pagi selepas tamat pertandingan akhir bola sepak sekolah menengah dan guru-guru. Majlis perasmian penutup diserikan dengan penyampaian hadiah kepada pemenang-pemenang. Bola sepak dan futsal untuk kategori sekolah rendah dimenangi oleh SERI Seremban dan kategori sekolah menengah dimenangi oleh SEMI Seremban juga. Manakala bola jaring untuk kategori sekolah rendah dan menengah digondol oleh SERI/SEMI Sg. Ramal. Olahragawan SERI dimenangi oleh Adik Abdul Manaf b Shafiee dari SERI Al-Hikmah, Kelantan (mendapat dua piala emas) dan Olahragawati SERI Adik Nur Amirah bt Mohamed Nasir dari SERI Seremban.(mendapat 2 emas, 1 perak dan 1 gangsa). Manakala pemenang olahragawan SEMI digondol oleh Adik Syed Aiman Syakir b. Syed Osman dari SEMI Sg. Ramal (3 emas, 1 perak dan 2 gangsa) dan olahragawati dimenangi oleh adik Aisyah bt Che Anuwar juga dari SEMI Sg. Ramal mendapat tiga pingat emas.
Secara keseluruhan SERI Seremban diwakili oleh YBhg. Pn. Khairani bt Mokhtar, Guru Besar telah menjulang piala pusingan ABIM kategori sekolah rendah merebut juara bertahan dari SERI Alor Setar. SERI Seremban telah memungut 7 emas, 4 perak dan 4 gangsa. Manakala kategori sekolah menengah SEMI Sg Ramal. telah merebut juara bertahan dari SEMI Seremban. Pn. Tg. Noor Ketina bt Tg. Abdullah, Pengetua sekolah tersebut menjulang piala pusingan ABIM dengan penuh girang sekali disusuli dengan tepuk sorak oleh penyokong-penyokongnya. SEMI Sg. Ramal telah merangkul 10 emas, 6 perak dan 9 gangsa.
Acara penutup diakhiri dengan Penyerahan Bendera Kejohanan oleh pasukan Pengakap dan guru pengiring SERI/SEMI Sg. Ramal dibawa kepada En. Suhaili b Husin, selaku Pengerusi Induk Ihtifal (Sukan) Ke-11. Penyerahan Simbol itu diserahkan kepada Tn. Hj. Mahyuddin b Ashaari, Ketua Pengarah Pendidikan, Yayasan Takmir Pendidikan lalu disampaikan kepada YBhg. Tn. Hj. Ashaari b. Mohd. Yatim, Guru Besar SERI Indera Mahkota, Kuantan iaitu tuan rumah Ihtifal Kebangsaan (Sukan) Ke-13 pada tahun 2013 nanti.
Semoga Ihtifal Kebangsaan yang dilaksanakan dapat mencapai objektifnya dan dapat memperkukuhkan lagi ikatan silatur rahim dan semangat setiakawan di antara sekolah SERI/SEMI ABIM dan sekiranya ada persepsi yang kurang menyenangkan haruslah dibendung. Kalah dan menang adalah adat permainan namun sikap tolerensi, bermaaf-maafan dari hati ke hati dan amalan sifat mahmudah adalah dipuji oleh Allah S.W.T.
Disediakan oleh
NURJANNAH BT KEMAN
Setiausaha Induk Ihtifal Kebangsaan
sumber: www.ytp.my
Rabu, 4 Mei 2011
Laporan penuh Ihtifal (Sukan) Kebangsaan 2011
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
0 comments:
Catat Ulasan